Friday, March 10, 2017

Chukai: Terpaksa beratur selama hampir tujuh jam untuk giliran mencuci pakaian harian di dobi layan diri kerana terlalu ramai mangsa banjir mahu menggunakan kemudahan itu antara yang terpaksa dilalui mangsa banjir di sini.

Seorang mangsa Badariah Musa, 35, dari Geliga, dekat sini berkata, dia tidak mempunyai pilihan kerana premis berkenaan adalah satu-satunya kedai dobi layan diri yang ada di bandar ini dan menawarkan harga mencuci dan mengering pakaian jauh lebih murah berbanding kedai lain.

“Kebiasaannya harga di kedai dobi biasa RM2.80 hingga RM3 untuk sekilogram pakaian, tetapi lebih mahal iaitu RM3.50 pada musim hujan dan banjir ketika ini.

“Keadaan ini menyebabkan ramai mangsa banjir terpaksa mencari kedai yang lebih murah seperti dobi layan diri ini yang baru mengenakan RM6 untuk 14 kilogram pakaian.

“Hari ini (semalam) saya mula beratur pada jam 12.45 tengah hari dan giliran tiba pada jam 7.30 malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mangsa banjir dari Batu 3, Jalan Air Putih, dekat sini, Yati Aksah, 42, turut berkongsi pengalaman sama apabila terpaksa beratur selama lima jam bermula jam 2.30 petang.
“Namun ia berbaloi kerana saya membawa kira-kira 10 beg pakaian seberat 140 kilogram yang basah akibat ditenggelami banjir dan bayaran mencuci di dobi layan diri ini baru RM60 berbanding dobi biasa yang jauh lebih mahal iaitu RM490.
“Dalam keadaan mangsa banjir yang sudah kerugian banyak wang ringgit dan harta benda kerana rumah ditenggelami air, sudah tentulah kami perlu berjimat cermat walaupun terpaksa menunggu lama,” katanya.

Situasi sama turut dilalui Nurnabila Sabri, 22, walaupun rumahnya di Mak Chili, dekat sini, tidak ditenggelami banjir kerana terletak di kawasan lebih tinggi berbanding sekitarnya.
“Cuaca mendung sepanjang minggu ini menyebabkan pakaian harian yang digunakan lambat kering sebab itu saya terpaksa ke kedai dobi walaupun perlu menunggu selama hampir dua jam,” katanya.
Kontraktor, Saiful Azmi Zakaria, 42, dari Bandar Baru Bukit Mentok, dekat sini, pula berkata, dia juga tidak mempunyai pilihan kerana mahukan harga yang lebih murah walaupun perlu menunggu selama berjam-jam.

“Kami berlindung di pusat pemindahan sementara jadi susah tentulah kedai dobi layan diri ini menjadi pilihan membasuh pakaian harian kami lima beranak,” katanya.