Industri francais sememangnya dikenal pasti antara sektor yang mampu 
menjana perolehan negara memandangkan ia mampu berkembang sekitar 15 
peratus setahun. Setakat 2014, industri itu menyumbang 2.5 peratus iaitu
 RM26.15 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Persatuan Francais Malaysia (MFA) adalah salah satu organisasi bukan
 kerajaan yang diiktiraf kerajaan sebagai pihak yang mewakili pemain 
industri francais menyuarakan pandangan serta memastikan kerajaan terus 
memberi tumpuan kepada industri itu yang berpotensi dalam dunia 
keusahawanan negara.
Ikuti temubual Wartawan Bisnes Metro bersama Setiausaha Agung MFA, 
Shukri Salleh membincangkan pelbagai isu berkaitan industri francais 
tempatan.
Pada pandangan MFA apakah yang boleh disimpulkan mengenai industri francais tempatan pada tahun lalu?
Industri francais tempatan mempunyai potensi besar berkembang dan 
mampu menjadi ejen yang merangsang ekonomi negara dan kita melihat ia 
dibuktikan menerusi angka sumbangan kepada KDNK setiap tahun.
Pada 2015, daripada segi persekitaran perniagaan keseluruhannya, 
mengalami cabaran kerana beberapa perkara yang berlaku antaranya 
penyusutan nilai ringgit yang memberi kesan langsung kepada aktiviti 
perdagangan ke luar negara.
Namun dalam industri francais, kita tidak menerima kesan teruk 
situasi itu memandangkan industri ini mempunyai ciri operasi standard 
(SOP), kajian dan pembangunan perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan 
kumpulan kerja yang teratur.
Industri ini dilihat mampu mengekalkan pertumbuhannya dengan adanya 
cawangan perniagaan yang banyak dan menyokong kelemahan pada cawangan di
 pasaran lain.
Bagaimana dengan prestasi syarikat tempatan yang berjaya menembusi perniagaan asing? 
Di Malaysia, ada 797 syarikat francais yang berdaftar dengan 
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
 dengan nisbah 70 peratus jenama tempatan dan 30 peratus jenama 
antarabangsa.
Setakat ini, lebih 60 syarikat tempatan menembusi pasaran asing 
dalam pelbagai sektor dan ini menunjukkan jenama francais kita memikat 
pengguna asing.
Angka ini dijangka meningkat setiap tahun dengan adanya langkah 
dilaksanakan kerajaan seperti mengadakan misi dagangan ke luar negara. 
Secara purata terdapat antara lapan hingga 10 misi dagangan disertai 
MFA.
MFA memainkan peranan penting dengan mengadakan kerjasama bukan saja
 di peringkat Asia Tenggara, malah global dengan mewujudkan jaringan 
kerjasama dengan persatuan francais di luar negara seperti di Korea, 
Filipina dan terbaru Turki.
Bagaimana dengan penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri francais?
Menerusi angka pendaftaran 797 syarikat francais yang berdaftar di 
bawah KPDNKK, kita difahamkan terdapat lebih 396 syarikat Bumiputera 
menyertai bidang ini dan ia adalah sesuatu yang positif.
Setakat ini, ada 12 syarikat Bumiputera memasuki pasaran asing dengan separuh daripadanya dalam sektor makanan dan minuman.
Kita sentiasa memberi galakan kepada usahawan termasuk Bumiputera 
untuk menyertai industri francais kerana ia berpotensi dikembangkan di 
pasaran tempatan malah luar negara.
Setiap tahun MFA mengadakan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia dengan tahun ini pada 6 dan 8 Mei kelak.
Apakah sektor francais yang dilihat mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan asing? 
Jika dilihat kepada penyertaan usahawan dalam bidang francais 
kebanyakan mereka memilih menyertai sektor makanan dan minuman 
memandangkan permintaannya sentiasa ada tidak kira di pasaran tempatan 
mahupun luar negara.
Sebenarnya, selain sektor yang dianggap sebagai tradisional, sektor 
lain yang mula mendapat perhatian usahawan francais tempatan ialah 
perkhidmatan dan pendidikan.
Antara sektor perkhidmatan yang mendapat perhatian ketika ini adalah
 perkhidmatan dobi layan diri yang mendapat sambutan daripada pengguna 
dan ia juga boleh diperluaskan di pasaran asing.
Di Malaysia, ada 10 jenama menyertai francais pendidikan kanak-kanak dan ada menembusi pasaran asing terutama di Timur Tenggah.
S: Adakah kesedaran usahawan tempatan untuk menyertai industri francais ini semakin meningkat? 
Di Malaysia kita mempunyai banyak usahawan yang mempunyai pelbagai 
perniagaan berpotensi untuk difrancaiskan, tetapi mereka tidak mempunyai
 pengetahuan mengenai industri ini dan setakat ini pembabitan usahawan 
memuaskan.
 
No comments:
Post a Comment