Friday, March 10, 2017

Industri francais sememangnya dikenal pasti antara sektor yang mampu menjana perolehan negara memandangkan ia mampu berkembang sekitar 15 peratus setahun. Setakat 2014, industri itu menyumbang 2.5 peratus iaitu RM26.15 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Persatuan Francais Malaysia (MFA) adalah salah satu organisasi bukan kerajaan yang diiktiraf kerajaan sebagai pihak yang mewakili pemain industri francais menyuarakan pandangan serta memastikan kerajaan terus memberi tumpuan kepada industri itu yang berpotensi dalam dunia keusahawanan negara.

Ikuti temubual Wartawan Bisnes Metro bersama Setiausaha Agung MFA, Shukri Salleh membincangkan pelbagai isu berkaitan industri francais tempatan.
Pada pandangan MFA apakah yang boleh disimpulkan mengenai industri francais tempatan pada tahun lalu?

Industri francais tempatan mempunyai potensi besar berkembang dan mampu menjadi ejen yang merangsang ekonomi negara dan kita melihat ia dibuktikan menerusi angka sumbangan kepada KDNK setiap tahun.
Pada 2015, daripada segi persekitaran perniagaan keseluruhannya, mengalami cabaran kerana beberapa perkara yang berlaku antaranya penyusutan nilai ringgit yang memberi kesan langsung kepada aktiviti perdagangan ke luar negara.

Namun dalam industri francais, kita tidak menerima kesan teruk situasi itu memandangkan industri ini mempunyai ciri operasi standard (SOP), kajian dan pembangunan perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan kumpulan kerja yang teratur.

Industri ini dilihat mampu mengekalkan pertumbuhannya dengan adanya cawangan perniagaan yang banyak dan menyokong kelemahan pada cawangan di pasaran lain.
Bagaimana dengan prestasi syarikat tempatan yang berjaya menembusi perniagaan asing?
Di Malaysia, ada 797 syarikat francais yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan nisbah 70 peratus jenama tempatan dan 30 peratus jenama antarabangsa.

Setakat ini, lebih 60 syarikat tempatan menembusi pasaran asing dalam pelbagai sektor dan ini menunjukkan jenama francais kita memikat pengguna asing.
Angka ini dijangka meningkat setiap tahun dengan adanya langkah dilaksanakan kerajaan seperti mengadakan misi dagangan ke luar negara. Secara purata terdapat antara lapan hingga 10 misi dagangan disertai MFA.

MFA memainkan peranan penting dengan mengadakan kerjasama bukan saja di peringkat Asia Tenggara, malah global dengan mewujudkan jaringan kerjasama dengan persatuan francais di luar negara seperti di Korea, Filipina dan terbaru Turki.

Bagaimana dengan penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri francais?
Menerusi angka pendaftaran 797 syarikat francais yang berdaftar di bawah KPDNKK, kita difahamkan terdapat lebih 396 syarikat Bumiputera menyertai bidang ini dan ia adalah sesuatu yang positif.
Setakat ini, ada 12 syarikat Bumiputera memasuki pasaran asing dengan separuh daripadanya dalam sektor makanan dan minuman.
Kita sentiasa memberi galakan kepada usahawan termasuk Bumiputera untuk menyertai industri francais kerana ia berpotensi dikembangkan di pasaran tempatan malah luar negara.
Setiap tahun MFA mengadakan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia dengan tahun ini pada 6 dan 8 Mei kelak.

Apakah sektor francais yang dilihat mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan asing?
Jika dilihat kepada penyertaan usahawan dalam bidang francais kebanyakan mereka memilih menyertai sektor makanan dan minuman memandangkan permintaannya sentiasa ada tidak kira di pasaran tempatan mahupun luar negara.

Sebenarnya, selain sektor yang dianggap sebagai tradisional, sektor lain yang mula mendapat perhatian usahawan francais tempatan ialah perkhidmatan dan pendidikan.
Antara sektor perkhidmatan yang mendapat perhatian ketika ini adalah perkhidmatan dobi layan diri yang mendapat sambutan daripada pengguna dan ia juga boleh diperluaskan di pasaran asing.
Di Malaysia, ada 10 jenama menyertai francais pendidikan kanak-kanak dan ada menembusi pasaran asing terutama di Timur Tenggah.

S: Adakah kesedaran usahawan tempatan untuk menyertai industri francais ini semakin meningkat?
Di Malaysia kita mempunyai banyak usahawan yang mempunyai pelbagai perniagaan berpotensi untuk difrancaiskan, tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai industri ini dan setakat ini pembabitan usahawan memuaskan.

No comments:

Post a Comment